Viral
Dijamin Enak! Tas Tangan Indomie Goreng Tular Di Indonesia
Manipulasi dan eksperimentasi dunia fesyen semakin rancak!
Jika gaun Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James mirip nasi lemak daun pisang sedang tular di Malaysia, tas tangan corak pek bungkusan Indomie Goreng pula sedang tular di Indonesia.
Tas tangan itu pada mulanya telah digayakan oleh seorang penyanyi muda, Nindy ketika menghadiri Jakarta Fashion Week awal minggu ini.
Gambar yang dimuatnaik oleh Nindy atau nama sebenarnya Anindia Yandirest Ayunda, 28, mendapat perhatian peminat yang menyifatkan tas tangan itu sangat comel dan unik.
"Tas tangannya unik! Aku mahu," tulis @ichalyssa95.
"Melihat tas tangan Indomie terus membuatkan saya jadi lapar," tulis @ari_tarot_reader_serpong.
Tas tangan Indomie Goreng itu rekaan seorang pereka fesyen Indonesia, Mariko Tampi dan sebenarnya ciptaan tas tangan daripada pereka itu memang terkenal dengan rekaan unik dan eksentrik.
Terkejut dengan permintaan luar biasa untuk tas tangan Indomie, Mariko terpaksa menghadkan tempahan kerana proses pembuatan yang memakan masa panjang.
"Sejak setahun lalu tas tangan ini memakan masa berbulan-bulan untuk disiapkan dan saya tidak menyangka sama sekali ia akan menjadi tular sebegini," katanya kepada Detik.com.
Selain pek bungkusan Indomie, pereka fesyen itu pernah menghasilkan tas tangan bercorak Panadol, sayur-sayuran, keropok Taronet, ubatan herba dan macam-macam lagi.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @nindyparasadyharsono, @kealivelaughlove
Must-Watch Video