HIBURAN
Didakwa Tiada Nilai Sopan Dalam MV Raya Tum Tum Raya, Ini Respons Shiha & Ieda Zikir! - "Minta Maaf Kalau Tak Selesa"
Menerima kritikan negatif didakwa tiadanya unsur sopan dalam muzik video raya terbaharu Shiha dan Ieda Zikir, pasangan adik-beradik itu tampil memberikan respons.
Jelas Shiha, dia menerima setiap kritikan dan menjelaskan bahawa konsep itu disesuaikan dengan elemen komedi yang ingin ditonjolkan dalam lagu Aidilfitri mereka tahun ini.
"Minta maaf kalau ada yang tidak selesa, niat saya cuma mahu hiburkan orang dengan bawa perwatakan sendiri.
"Lagu-lagu raya sebelum ini saya terapkan unsur biasa tetapi tahun ini saya selitkan elemen komedi.
"Tidak melebih-lebih sampai melampau, cuma tarian sahaja yang ligat bagi menampakkan perbezaan tenaga saya dan kakak.
Tiada niat apa pun, cuma yang kenal akan "tahu perangai saya. Orang tidak mengenali sisi peribadi saya yang mempersoalkan tujuan saya berbuat demikian," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Shiha menyatakan dia tidak terasa dengan komen negatif sebaliknya berlapang dada menerima setiap teguran.
Bagi Ieda yang juga kakak kandung Shiha, dia meyakinkan Shiha bahawa konsep yang mereka gunakan dalam video muzik itu tidaklah melampaui batas.
"Mengenai pergerakan tarian, Shiha ada bertanya kepada saya sama ada ia keterlaluan atau tidak kerana dia juga risau.
"Sebagai kakaknya, saya meyakinkan bahawa tidak mengapa kerana tiada apa-apa yang melampaui batas sehingga mencalarkan budaya.
"Apa yang kami inginkan hanyalah menyebarkan kegembiraan," katanya.
Video muzik Tum Tum Raya mengetengahkan konsep tarian Melayu yang digabungkan dengan tarian moden, menggunakan suntingan 'fast cut'.
Pada 5 Mac lalu, Shiha dan Ieda melancarkan lagu raya baharu berjudul ‘Tum Tum Raya’ hasil ciptaan Ajay Amai dan Napie Hassan.
Video muzik ‘Tum Tum Raya’ turut mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya pasar raya Giant Malaysia, Kimball & SF Biscuit.
Must-Watch Video