HIBURAN
Demi Sebuah Karya ‘Agung’ Melly Goeslaw, Misha Omar Nekad Untuk…
Sudah 23 tahun bertapak dalam industri seni suara, penyanyi Misha Omar akui mempunyai hasrat untuk menyanyikan sebuah lagu ciptaan komposer prolifik Indonesia, Melly Goeslaw.
Jelas Misha, karya terbaharunya berjudul Break terhasil selepas dia sendiri memberanikan diri untuk meminta sendiri lagu tersebut daripada Melly menerusi Direct Message (DM) di media sosial.
“Projek ini bermula apabila saya memberanikan diri mendekati Melly di DM. Saya nyatakan hasrat untuk memiliki sebuah lagu ciptaannya.
“Sebagai penyanyi, saya sudah lama memasang impian untuk menyanyikan lagu ciptaan Melly. Dan Break ini, dari judul, melodi hingga ke lirik, semuanya merupakan karya eksklusif yang Melly cipta untuk saya. Ia sangat sebati dengan jiwa saya,” katanya.
Misha kemudian menyifatkan Break yang melalui proses penghasilan di Jakarta, Indonesia sebagai karya yang istimewa buatnya.
Meski sudah menjadi pemain senior industri muzik, Misha tetap melalui rutin ketat yang sama setiap kali mahu memulakan projek baharu.
Maka Break dihasilkan penuh teliti termasuk bagaimana beliau memastikan tanggungjawab sebagai seorang penyanyi memiliki vokal dan rasa yang tepat dalam penghasilan lagu ini.
“Menyentuh tentang penghasilan Break, sebagai seorang penyanyi, saya telah mendapatkan kerjasama terbaik bersama guru vokal saya, Datuk Syafinaz Selamat.
“Sebagai penyanyi sebelum memulakan projek baharu, saya mengikuti kelas vokal dan ‘membedah lirik’ supaya penghayatan dan seluruh rasa tentang Break dapat disampaikan dengan baik.
“Semoga Break dapat menyentuh jiwa dan membekas di hati peminat,” tambahnya.
Break diterbitkan oleh syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music Entertainment dan turut menampilkan sentuhan magis Tohpati selaku penerbit muzik.
Lagu ini telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 20 Jun 2025.
Must-Watch Video