HIBURAN
Daesung BIGBANG Gegar Kota Singapura 2 Ogos Nanti, Tiket Serendah RM687! - "Ada Sesi Meet & Greet"
Peminat muzik K-pop di Malaysia dan Singapura bersedia untuk merasai pengalaman luar biasa apabila SAH Entertainment membawakan ahli kumpulan legenda BIGBANG, iaitu Daesung, dalam konsert D’s Wave 2025 Asia Tour In Singapore yang akan berlangsung pada 2 Ogos 2025, jam 8 malam, bertempat di Arena @ Expo, Singapura.
Konsert ini merupakan sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara Daesung dan dijangka menampilkan pelbagai lagu hit yang akan menggegarkan pentas serta menghiburkan ribuan peminat yang hadir.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid, pihak penganjur telah menetapkan harga tiket yang berpatutan untuk membolehkan peminat menyaksikan idola mereka secara langsung. Tambahan pula, peminat turut berpeluang menyertai sesi Meet and Greet bersama Daesung.
“Untuk konsert Daesung kali ini pihak penganjur bersetuju untuk memberikan harga yang berpatutan buat peminat-peminat yang dah lama nak saksikan penyanyi itu depan mata mereka.
"Istimewanya kali ini, bukan sahaja pada harga tiket malah kami ada menyediakan faedah seperti sesi Meet And Greet bersama Daesung,” katanya.
Jelas Sufi lagi, konsert ini merupakan detik istimewa bagi syarikat kerana ia adalah konsert K-pop pertama yang dianjurkan oleh SAH Entertainment. Sufi turut menyatakan hasrat untuk membawa lebih ramai artis Korea Selatan ke rantau ini pada masa akan datang.
“Ini konsert artis K-pop pertama yang kita buat, lagi pula siapa tidak kenal Daesung yang juga salah seorang ahli kumpulan Big Bang.
Jadi tidak salah untuk kami mencuba anjurkan artis K-pop dan mungkin buat perancangan masa depan akan ada lebih banyak lagi insya-Allah,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai harapan terhadap konsert ini, Sufi menyatakan keinginan untuk melihat peminat yang hadir bergembira dan pulang dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Saya cuma berharap peminat-peminat yang hadir nanti bergembira dan berseronok sahaja ketika menyaksikan Daesung menyanyi dan hiburkan mereka.
"Saya juga yakin konsert itu nanti akan berikan mereka satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.
Harga tiket bagi konsert D’s Wave 2025 Asia Tour In Singapore adalah seperti berikut:
SGD288 (VIP)
SGD238 (Diamond)
SGD208 (Platinum)
Tiket akan mula dijual pada 23 Jun 2025 melalui platform SISTIC. Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal kerana permintaan dijangka sangat tinggi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari sahentertainment.com atau emel ke hello@sahentertainment.com.
Must-Watch Video