Cikgu, Abang 'CCTV & Wiring' Didenda RM5,000 Mengaku Salah Cuba Lakukan Zina
Seorang guru sekolah menengah dan 'abang CCTV & wiring' yang tular mengenai skandal seks didenda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, Melaka, pada Jumaat.
Kedua-dua mereka dengan suara sebak mengaku bersalah atas percubaan melakukan zina pada 28 Februari lalu di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin.
Dalam penghakimannya Mohd Yunus berkata setelah meneliti semua perkara termasuk mengambil kira hujah pemberat dan alasan kedua-dua tertuduh beliau menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan Nur Fadilah Zainal masing-masing berusia 31 tahun didapati telah melakukan perbuatan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak.
Kesalahan ini dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai di Alor Gajah di sini kira-kira jam 9 malam pada 28 Februari lalu.
Kesalahan dibawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara makslumum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah.
Muhammad Hairul Ezuan dalam rayuannya memohon hukuman denda rendah dikenakan kerana pendapatannya terjejas selepas berita tular itu selain telah melakukan solat sunat taubat dan memgambil tanggjungjawab terhadap guru itu.
Sementara itu, Nur Fadilah yang merupakan ibu tunggal turut merayu jaminan rendah atas alasan 100 peratus menjaga anak tunggal lelaki yang masih kecil dan berusia empat tahun selain menyara ibu bapa sakit.
Kedua-dua mereka kemudian menjelaskan bayaran denda tersebut sebelum beredar menaiki kenderaan masing-masing.
Sumber: Sinar Harian