HIBURAN
Boleh Muat 7,000 Penonton, Idea Live Arena Lokasi Baharu Untuk Anjur Konsert Besar
Pembukaan Idea Live Arena ang menjadi ruang konsert dan dewan acara tertutup kedua terbesar di Malaysia selepas Axiata Arena, Bukit Jalil turut disambut baik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ia sejajar dengan pengumuman ‘Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI)’, sebuah insentif berbentuk rebat kewangan untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar di Malaysia.
"Finas melancarkan lokasi konsert terbaharu, dan boleh dikatakan ini adalah lokasi konsert terbesar dalam pusat beli belah di Malaysia.
"Idea Live Arena boleh memuatkan sehingga 7,000 penonton dan dilengkapi dengan peralatan terbaharu bersesuaian untuk mengadakan konsert, pameran dan sebagainya.
"Kita mengalu-alukan fasiliti begini terutamanya untuk membangunkan industri kreatif negara, tapi bukan saja dari segi hiburan malah pendidikan di mana kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hab bagi perniagaan hiburan serantau.
"Seperti mana diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada minggu lalu mengenai inisiatif baharu dinamakan CEMI bagi menarik lebih banyak acara konsert di Malaysia dan pada masa sama membantu artis tempatan mengadakan konsert mereka di sini," katanya.
Pelancaran Idea Live Arena yang terletak dalam pusat beli belah 3 Damansara, Petaling Jaya, itu turut disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing.
Menurut Azmir lagi, pembukaan ruang acara hiburan itu membuktikan industri kreatif tanah air terus berkembang apabila sudah menerima tempahan yang memberangsangkan daripada penganjur acara.
"Saya dikhabarkan walaupun hari ini adalah hari pelancaran Idea Live Arena, tempahan sudah penuh sehingga hujung tahun.
"Seperti mana kita menggalakkan penonton menonton filem di wayang sama juga dengan industri muzik, kita mahu penonton menikmati muzik di lokasi yang kondusif," katanya.
Idea Live Arena, yang mampu memuatkan sehingga 5,000 tempat duduk atau 7,000 tetamu dalam susunan duduk dan berdiri, dibangunkan menerusi pelaburan berjumlah RM40 juta membabitkan kerja-kerja naik taraf struktur, pengubahsuaian dan pemasangan sistem teknikal terkini.
Dengan kelengkapan audio, pencahayaan dan visual bertaraf dunia, arena ini direka untuk menjadi destinasi utama bagi penganjuran konsert, persembahan langsung serta acara berskala besar.
Antara kemudahan eksklusif yang ditawarkan termasuklah ruang legar sambutan yang luas, bilik persalinan artis serba lengkap serta lima kotak VIP mewah.
Pelancaran rasmi turut diserikan dengan persembahan Datuk Sheila Majid, dengan lagu Warna, Legenda dan Sinaran sekali gus menyerlahkan keunggulan sistem akustik dan visual arena itu.
Must-Watch Video