BIG STAGE ALPHA
#BigStageAlpha: Rizal Rasid Tidak Sangka Persembahan Gento Curi Perhatian Warga Filipina - “Bila Kami Tengok Sambutan Dari Filipina, Kami Rasa…”
Bintang Big Stage Alpha (BSA), Rizal Rasid meluahkan rasa terkejut apabila persembahan berkumpulan OT7 yang membawakan lagu Gento nyanyian SB19 pada minggu separuh akhir baru-baru ini mendapat perhatian luar biasa daripada peminat Filipina.
Jelas Rizal, dia tidak menyangka majoriti komen yang diterima di media sosial datang daripada warga Filipina yang memuji usaha mereka menyampaikan lagu tersebut dengan sebutan bahasa Tagalog yang hampir tepat.
“Lepas konsert minggu separuh akhir baru-baru ini, kami menyanyikan lagu Gento. Saya sempat baca komen-komen di YouTube dan TikTok, dan saya sangat terkejut sebab rata-ratanya datang dari warga Filipina.
“Saya rasa lebih kurang 80 peratus komen memang dari sana,” katanya kepada Gempak.
Walaupun bukan mudah menyanyikan lagu dalam bahasa asing, Rizal meluahkan rasa syukur apabila kerja keras mereka dihargai oleh penonton luar yang turut memahami kesukaran menyampaikan lagu dalam bahasa yang tidak biasa digunakan.
“Untuk masuk pasaran Filipina, ia bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi datang daripada pasaran muzik Melayu. Tapi bila kami tengok sambutan orang Filipina, kami rasa sangat gembira.
“Kami cuba yang terbaik untuk sampaikan lagu Gento dengan sebutan sebaik mungkin, walaupun kami sedar ada juga beberapa kesalahan sebutan. Tapi bila tetap dihargai, itu buatkan usaha kami rasa sangat berbaloi,” jelasnya.
Dalam masa sama, bintang Alpha turut menyuarakan rasa kagum terhadap sokongan peminat Filipina yang menghargai kesungguhan mereka meskipun berhadapan cabaran membawakan lagu dalam bahasa Tagalog serta beberapa lagu dalam bahasa Korea.
“Kami tahu bukan mudah nak perform lagu Gento dan menghafal bahasa Tagalog. Tambah pula, kami kena hafal lagu Korea lagi.
“Jadi, bila dapat sokongan seperti itu, saya betul betul hargai orang Filipina,” jelasnya.
Bagaimanapun, Rizal mengakui dia tidak menolak jika diberikan peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa demi memperluaskan kerjaya seninya.
“Kalau diberikan peluang untuk masuk ke pasaran Filipina, saya rasa itu akan jadi satu pendedahan yang lebih baik dan besar untuk pasaran antarabangsa. It will be much more better exposure internationally,” kongsinya.
Must-Watch Video