BIG STAGE ALPHA
#BigStageAlpha: Dikritik Kurang Menyerlah, Afiq Sky Tekad Buktikan Kemampuan - “Tiada Istilah Ada…”
Bintang Big Stage Alpha (BSA), Afiq Sky meluahkan rasa lega kerana tiada sebarang penyingkiran berlaku pada minggu kelima.
Bagaimanapun, Afiq menolak dakwaan netizen yang menyatakannya tidak layak untuk kekal dalam program realiti tersebut.
“Saya rasa benda ini bergantung kepada nasib sebenarnya, untuk minggu pertama hingga ke ketiga saya mendapat undian yang sangat tinggi tapi akhir-akhir ini undian saya agak rendah jadi saya rasa kalau saya berada ditangga tiga terbawah saya akan tersingkir.
“Tapi minggu lepas saya rasa saya yang akan keluar tapi diumumkan tiada penyingkiran saya rasa lega, jadi tiada istilah ada sembilan nyawa atau tidak,” ujarnya.
Mengulas mengenai persembahannya di pentas BSA, Afiq mengakui bahawa mungkin ada penonton yang merasakan dia kurang menyerlah namun dia tetap berusaha memberikan yang terbaik.
Menurut Afiq, dia ingin membuktikan kemampuannya kepada penonton dan juri walaupun sekali sebelum pentas Big Stage itu melabuhkan tirainya.
“Saya rasa saya okay sahaja, mungkin sebab mereka nampak saya macam tak berikan yang terbaik sebab tu mereka rasa saya macam tak layak. Tapi sebenarnya saya sendiri nak berikan yang terbaik cuma belum dapat lagi.
“Saya harap saya akan dapat tunjukkan kepada mereka sisi terbaik saya walaupun sekali mungkin dengan lagu yang sesuai atau kondisi badan yang baik saya akan dapat berikan yang terbaik semasa di pentas,” tambahnya.
Must-Watch Video