Laman Utama
Berhantu... Ernie Zakri Merintih Dalam Sirna!
Penyanyi Ernie Zakri tampil dengan sebuah lagu yang juga mendapat sentuhannya berjudul Sirna.
Sirna merupakan lagu sebuah runut bunyi (OST) filem kisah seram adaptasi daripada ritual sebenar masyarakat kaum Melanau zaman dahulu kala Sumpahan Jerunei.
Sirna adalah sebuah karya masterpiece oleh komposer terkenal tanah air, Sharon Paul, manakala liriknya oleh Slenfadzil dengan sentuhan magis oleh Ernie sendiri.
Kata Slenfadzil, dia membuat penyelidikan mengenai filem seram itu sebelum menghasilkan lagu berkenaan.
“Lagu Sirna ini sebenarnya telah disiapkan beberapa tahun yang lalu dan tidak dapat dilancarkan kerana apa yang berlaku pada kita semua.
“Setelah membuat sedikit penyelidikan, cerita Sumpahan Jerunei ini mempunyai tarikannya yang tersendiri kerana berdasarkan daripada sebuah tradisi yang benar-benar berlaku.
“Cerita disebalik lagu ini ada kena mengena dengan filem Sumpahan Jerunei yang mengangkat tema tradisi pengebumian bangsawan Melanau yang penuh misteri," katanya.
Filem Sumpahan Jerunei yang telah siap pada tahun 2019 terpaksa ditunda tayangannya kerana bencana pandemik COVID-19 yang menyerang dunia.
Lagu dalam genre balada yang berdurasi selama 3:56 minit ini sememangnya ‘berhantu’ atau lebih tepat lagi, hauntingly beautiful, ditambah pula dengan kemerduan suara Ernie berjaya merealisasikan mood seram filem tersebut.
Sirna adalah sebuah lagu yang menceritakan tentang penderitaan seorang wanita yang merayu-rayu meminta untuk dilepaskan, perasaan marah dan memberontak bercampur-baur, dan akhirnya menjadi Sirna yang bermaksud hilang atau lenyap.
Kata Ernie, jiwa wanita yang menderita dan sedih dapat dirasai dalam lagu Sirna yang penuh dramatik ini.
“Kami mengambil masa sekitar 2 sehingga 3 jam sahaja bagi merakamkan lagu ini kerana sudah terbiasa bekerjasama dengan Sharon Paul.
"Saya juga turut menulis bait-bait liriknya dan menambah elemen lenggok Melayu asli dalam nyanyian saya.
“Sebagai seorang public figure, kadang-kadang kita tidak dapat meluahkan apa yang terbuku di hati sepenuhnya, tetapi melalui muzik dan persembahan di pentas, saya boleh menjadi diri saya yang sebenarnya, maka lahirlah sebuah ekspresi Ernie Zakri di situ," katanya.
Famy Ghazali, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment berharap dengan OST nyanyian Ernie dapat menaikkan lagi filem Sumpahan Jerunei.
“Semoga lagu Sirna menjadi OST terbaik yang pernah dihasilkan selama ini dan moga pendengar sukakanya.
“Saya berharap agar OST filem Sumpahaan Jerunei, Sirna dapat diterima ramai, walaupun sedikit ‘berat’ konsepnya, agar semua terhibur dan sukakannya," ujarnya.
Lagu Sirna boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Must-Watch Video