HIBURAN
Ben Amir Dedah Sedang Jalin Hubungan Dengan Wanita Filipina - “Dia Bukanlah Punca Saya…”
Pelakon Ben Amir mengakui dirinya kini sedang menjalinkan hubungan rapat serta cuba untuk mengenali hati budi seorang wanita yang berasal dari Filipina.
Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir bin Sabaruddin, 35, berkata hubungan mereka itu masih lagi berada di peringkat awal walaupun mereka sudah berkenalan sejak dua tahun lalu.
“Saya masih lagi dalam fasa baru berkenalan hati budi. Kami sudah berkenalan selama dua tahun. Wanita itu bukanlah berasal dari Malaysia tetapi dari Filipina.
“Saya kenal dia sejak saya menetap di sana,” katanya kepada Gempak.
Ben berkata demikian ketika menghadiri majlis tayang perdana filem Gantung: Musketeer Code yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, aktor yang terkenal dengan drama Sweet Dreams itu turut menegaskan dia berpindah ke Filipina bukan disebabkan oleh wanita tersebut sebaliknya ia merupakan perancangan peribadi yang telah lama dirancang demi pembangunan diri.
“Dia bukanlah punca saya berpindah ke Filipina. Pindah ke Filipina itu memang sudah lama saya merancang. Ia bukan kerana seseorang, tetapi lebih kepada usaha untuk membuka buku baharu dalam hidup saya.
“Sebagai seorang anak lelaki, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk sentiasa meningkatkan diri dari segi kerjaya, mental dan banyak aspek lain,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Ben mengakui keputusan untuk menetap di Filipina bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, aktor tersebut melihatnya sebagai satu cabaran baharu dan tanggungjawab besar demi kemajuan diri serta perkembangan peribadi.
“Saya rasa bila saya pergi ke sana itu merupakan satu perkara yang sangat susah untuk saya lakukan tapi saya tetap cuba.
Di sana saya cuba untuk membuka satu restoran halal. Jadi, benda nilah yang saya rasa senang untuk lakukan. Saya sendiri tidak pernah nak buat perkara ini di negara orang.
“Jadi, itu adalah satu cabaran yang saya cabar diri saya untuk membina kerjaya baharu di sana,” kongsinya.
Terdahulu, keputusan Ben Amir untuk menetap di Pulau Siargao, Filipina telah menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat mengenai hala tuju karier seninya di Malaysia.
Malah, ada yang beranggapan keputusan itu dibuat kerana hatinya telah dicuri oleh seorang wanita dari negara berkenaan.
Must-Watch Video