Bella Dowana Tidak Bersedia Untuk Bercinta - “Tiada Yang Betul Berani Mendekati”
Pelakon, Bella Dowana mendedahkan ada beberapa individu yang cuba mendekatinya sejak penampilannya berubah menjadi lebih kurus. Namun, dia memilih untuk menolak kerana belum bersedia untuk terikat dalam sebarang komitmen percintaan.
Menurut Bella atau nama sebenarnya, Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, 22, kebanyakan lelaki yang cuba untukmendekatinya tidak menepati kriteria yang diinginkan, malah ada antaranya menunjukkan ciri-ciri ‘red flag’.
“Ada juga beberapa individu mencuba untuk mendekati tetapi saya tolak sebab juga yang hadir dengan ada ciri-ciri lelaki ‘red flag’. Memang tak mahu dia, saya tepis.
“Ada juga artis dan orang biasa yang cuba dekati cuma saya belum bersedia.
“Tapi sebenarnya saya lebih kepada tidak bersedia dan memang akan menolak sesiapa sahaja yang cuba mendekati,” katanya kepada Gempak.
Bella Dowana berkata demikian ketika menghadiri majlis sesi media bersama Bernadya yang berlangsung di The Journal Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, Bella turut meluahkan dirinya sedikit risau kerana perwatakannya yang sedikit kasar mungkin menjadi faktor lelaki ‘takut’ untuk mendekatinya, meskipun penampilannya kelihatan feminin.
“Saya masih solo ketika ini dan tiada yang betul-betul berani mendekati. Mungkin sebab karakter saya agak kasar.
“Nampak luaran macam feminin tetapi jiwa macam ‘abang-abang’,” jelasnya.
Bagaimanapun, dia turut menzahirkan rasa syukur kerana keluarganya tidak pernah meletakkan sebarang syarat umum kepada pemilihan kekasih.
Sebaliknya, dia hanya mahu fokus kepada diri sendiri dalam membantu keluarganya sahaja.
“Keluarga tak menghalang. Memang sebelum ini mereka ada letak syarat supaya bercinta selepas tamat persekolahan.
“Tapi kini saya sudah boleh buat keputusan sendiri cuma mahu fokus pada diri ditambah pula masih dalam fasa ingin membantu keluarga,” akuinya tidak pernah mempunyai pengalaman bercinta,” kongsinya.