Hollywood
Bekas Suami Pindah Masuk Rumah Adik Naya Rivera Demi Anak... Netizen Pula Fikir Bukan-Bukan!
Selepas hampir tiga bulan bintang siri televisyen Glee, Naya Rivera meninggal dunia, bekas suaminya, Ryan Dorsey membuat keputusan yang mencetuskan spekulasi netizen.
Ryan, 38, berpindah rumah untuk tinggal bersama adik perempuan Naya, Nickayla, 25.
Lelaki itu memberi alasan berpindah masuk dan tinggal dengan Nickayla adalah untuk bersama-sama menjaga anak tunggalnya, Josey.
Selain ada yang menganggap tindakan itu tidak wajar, spekulasi itu lebih meliar apabila Ryan dan Nickayla sebelum ini sering dilihat bersama sambil berpegangan tangan.
Bagaimanapun, Ryan menerusi sepotong video di Instagram tampil menjelaskan perkara sebenar kepada umum.
"Ia sangat menyedihkan apabila orang ramai lebih mudah menyebarkan kebencian.
"Lebih menyakitkan apabila mereka membuat kenyataan tidak betul terhadap keluarga yang baru berdepan tragedi," katanya.
Tambah Ryan, sejak kematian mendiang bekas isterinya itu, dia susut berat badan hampir 10 kilogram.
"Saya bersyukur masih punyai ibu yang masih banyak membantu saya sehingga kini.
"Kemudiannya saya berfikir tentang anak saya... Macam mana dia akan membesar nanti. Itu lebih membuatkan saya bersedih hati.
"Anak saya tidak sepatutnya berdepan situasi ini," tambahnya yang risau akan trauma yang bakal dihadapi anaknya itu kelak.
Justeru, Josey sendiri meminta ibu saudaranya, Nickayla yang dipanggil Titi untuk tinggal dengan mereka buat sementara waktu.
"Nickayla adalah individu paling rapat dengan Josey selepas ibunya dan saya akan memberikan apa saja permintaannya apatah lagi kemahuannya untuk bersama dengan ahli keluarganya," ujarnya.
Tegas Ryan, dia tidak terfikir sebarang komitmen berkaitan hubungan cinta buat masa sekarang dan menganggap spekulasi dengan Nickayla hanya gosip.
"Saya harap saya pun boleh berfikir tentang masalah cinta sekarang. Saya sudah biasa hidup dengan keadaan sekarang.
"Fikir dua kali sebelum kalian membuat sebarang kesimpulan!" pesanya.
Nickayla menerusi Instagram turut meluahkan kekecewaan terhadap spekulasi itu.
"Apa yang penting sekarang adalah belas kasihan, bukan menilai orang lain sembarangan. Harap kalian pun sama," tulisnya.
Difahamkan Ryan telah berpindah masuk ke kediaman baru tiga bilik yang disewa dengan harga AS$5,000 (RM20,792) sebulan itu sejak 6 September lalu.
Naya disyaki lemas selepas berenang di Tasik Piru sekitar Julai lalu.
Kredit Foto: AFP, Getty Images
Must-Watch Video