HIBURAN
Bekas Pelakon Drama Ditahan Guna Wang Palsu
Seorang bekas pelakon drama epik Indonesia, Sekar Arum Widara, 41, ditahan selepas didakwa cuba menggunakan wang palsu untuk berbelanja di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kemang, Jakarta Selatan.
Ketua Unit Ranmor Siasatan Jenayah, Polis Metro Jakarta Selatan, Inspektor Teddy Rohendi berkata, wanita itu dipercayai melakukan tiga cubaan berbeza untuk menggunakan wang palsu pada malam Rabu, 2 April lalu.
“Kali pertama, suspek berjaya membuat pembayaran menggunakan wang palsu di sebuah pasar raya Hypermart dalam pusat beli-belah itu tanpa disedari juruwang,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Tambahnya, selepas cubaan pertama berjaya, suspek kembali semula ke pasar raya sama untuk membeli barang lain namun melalui kaunter juruwang yang berbeza.
“Bagaimanapun, juruwang kali ini menggunakan mesin pengesan UV untuk mengesahkan wang dan mendapati wang yang diberikan adalah palsu, lalu transaksi dibatalkan,” jelasnya.
Tidak berputus asa, Sekar kemudiannya beralih ke premis lain, Ace Hardware, dan cuba lagi membayar menggunakan wang palsu pecahan Rp100,000 sebanyak 11 keping.
“Pekerja di premis berkenaan segera mengesan wang tersebut palsu. Suspek kemudiannya ditahan oleh pihak keselamatan dan diserahkan kepada pasukan keselamatan Mall Lippo Kemang,” katanya lagi.
Susulan itu, pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit membuat laporan kepada Polis Metro Jakarta Selatan dan Sekar Arum telah ditahan serta disahkan sebagai suspek.
Polis turut merampas sejumlah 2,350 keping wang palsu pecahan Rp100,000, sebuah telefon iPhone 11 Pro Max dan satu lagi telefon bimbit Xiaomi Redmi milik suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) dan (3) serta Seksyen 36(2) dan (3) Akta Republik Indonesia Nombor 7 Tahun 2011 berkenaan Mata Wang dan/atau Seksyen 244 serta 245 Kanun Keseksaan.
Sumber -CNN Indonesia (menerusi Sinar Harian)
Must-Watch Video