BERITA
Bayi Dua Bulan Parah, Alami Pendarahan Dalam Kepala Disyaki Didera Ibu
Bayi lelaki berusia dua bulan kini sedang bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam selepas dipercayai didera ibunya di Sungai Petai, Alor Gajah, pada Isnin.
Dakwa anak diserang sawan
Menurut sumber, insiden yang menimpa bayi itu terbongkar selepas seorang wanita muda berusia 22 tahun yang sedang dalam tempoh berpantang menghantar bayinya ke Hospital Alor Gajah kerana mendakwa anaknya diserang sawan.Katanya, sebaik tiba di hospital, bayi malang itu didapati tidak sedarkan diri sebelum wanita terbabit menghilangkan diri.
Tambahnya, doktor terbabit telah membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera, dan bayi berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) hospital sama."Bayi tersebut terus dirujuk ke Hospital Melaka."Namun pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor pakar menemui kesan lebam, luka pada badan dan leher, serta pendarahan lama dan baharu dalam kepala bayi itu," katanya.
Suspek berjaya ditahan
Menurutnya lagi, hasil maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan kediaman ibu bayi berkenaan di Sungai Petai, Alor Gajah.Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan usaha mendapatkan pengesahan lanjut daripada Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkiflee Rashid, sedang dijalankan."Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 7.30 malam Selasa, dan polis akan membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi menjalankan siasatan lanjut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkiflee Rashid mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan bahawa pihaknya telah menahan kedua-dua ibu bapa bayi tersebut yang masing-masing berusia 22 tahun untuk siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video