VIRAL
"Bau Wangi Menusuk Hidung Keluar Dari Tingkap Van, Seolah Bau Bunga Tapi Lebih Istimewa" - Saksi Kongsi Kisah Jenazah Nurly Shahirah
Pemergian seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah dalam nahas pada 9 Jun lalu mengundang rasa pilu dan antara topik yang diviralkan di media sosial.
Dalam salah satu hantaran di TikTok milik salah seorang saksi ketika majlis pengebumian Allahyarhamah baru-baru ini, individu berkenaan menceritakan tentang bau wangi mengiringi jenazah yang merupakan seorang hafizah Al-Quran.
"Saya merupakan salah seorang saksi kepada keharuman luar biasa jenazah arwah Nurly Shahirah.
"Saat jenazahnya sedang dibawa masuk ke dalam van, tiba-tiba saya terhidu satu bau yang sangat wangi — seolah-olah bau bunga, tetapi lebih istimewa. Pada waktu itu, saya menyangka mungkin seseorang memakai minyak wangi.
"Namun, saya terdengar orang di sekeliling memberitahu bahawa itu adalah jenazah Nurly. Saya tidak mengenali arwah ketika itu. Selepas semua urusan jenazah di unit forensik selesai, saya bersiap untuk pulang.
"Ketika berdiri di pagar bersama seorang anggota polis, saya melihat satu demi satu van jenazah bergerak keluar. Tiba-tiba, salah sebuah van berhenti di hadapan kami. Pemandu van membuka tingkap dan sekali lagi, bau wangi yang sama menusuk hidung saya, kali ini lebih kuat.
"Saya menoleh ke dalam van dan terlihat wajah tenang seorang lelaki, rupa-rupanya, itu adalah ayah kepada arwah Nurly," ceritanya.
Rasa ingin tahu itu membawa saksi untuk mencari maklumat tentang arwah sebaik tiba di rumah.
"Hati saya tertanya-tanya, siapakah sebenarnya insan ini? Setelah pulang ke rumah, saya mula mencari maklumat mengenai arwah.
"Rupa-rupanya, beliau adalah seorang hafizah Al-Quran, bahkan pernah menulis sendiri naskhah Al-Quran.
"Saya turut mendapat tahu bahawa arwah meninggal dunia dalam keadaan memeluk Al-Quran. Subhanallah. Hebatnya insan ini. Saya benar-benar tersentuh, dan dalam diam saya merasa cemburu dengan cara pemergiannya yang sangat mulia," tambahnya.
Seramai 15 pelajar UPSI terkorban dalam kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat awal pagi 9 Jun lalu.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus utama universiti di Tanjung Malim.
Must-Watch Video