BERITA
Bas Ekspres Dinaiki 13 Pelajar UMPSA Langgar Belakang Treler Di LPT
Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dinaiki mereka dengan sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat Maran, awal pagi Selasa.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, kesemua pelajar dalam perjalanan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke kampus di Gambang, sebelum bas berkenaan terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi.
“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dan semua pelajar telah selamat tiba di kampus sekitar jam 4 pagi menaiki bas ganti yang disediakan oleh pihak pengusaha bas,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
“UMPSA turut menyediakan pek bantuan mengandungi makanan segera dan keperluan asas bagi memastikan kebajikan pelajar terus terjaga,” katanya.
Menurut Dr Yatimah, pihak universiti amat menekankan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta menyeru agar mahasiswa sentiasa berwaspada dalam setiap perjalanan, khususnya musim perayaan dan cuti semester.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, memaklumkan kejadian berlaku apabila bas yang dipandu lelaki berusia 38 tahun di lorong kiri telah melanggar bahagian belakang treler yang bergerak di laluan sama.
“Seramai 28 penumpang bas dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu treler berusia 40 tahun dan kelindannya berusia 25 tahun juga tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan semua penumpang bas telah dipindahkan ke kenderaan lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video