HIBURAN
Bapa Lia Natalia Meninggal Dunia
Pelakon Lia Natalia memaklumkan bapanya, Abden Aben telah meninggal dunia pada pagi Jumaat.
Berita duka tersebut dikongsi Lia di Instagram (IG) dengan memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah.
“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan bapa.
“Dengan berat hati, kami ingin memaklumkan bahawa bapa telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9.50am di Hospital Queen Elizabeth 2. Dia pergi hari Jumaat, 10 akhir bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Lia turut memaklumkan jenazah bapanya itu akan diterbangkan ke Tawau pada petang ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, Tawau.
“Buat masa ini, jenazah bapa masih berada di Hospital Queen Elizabeth 2. Kami akan membawa jenazah ke lapangan terbang menggunakan perkhidmatan MAS Kargo dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 6.20 petang.
“Kepada ahli keluarga dan sahabat yang ingin memberikan penghormatan terakhir, boleh hadir ke Masjid Muhibbah Raya dan solat jenazah di situ. Selesai solat jenazah bapa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, Tawau.
“Dengan rendah hati, kami sekeluarga ingin memohon maaf sekiranya ada salah dan silap bapa sepanjang hayatnya.
“Jika ada hutang yang belum dilunaskan atau ada perkara yang belum terselesaikan, mohon hubungi kami. Kami juga memohon agar dihalalkan segala makan minum bapa.
“Mohon doakan agar roh bapa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” coretnya lagi.
Sebelum ini, Lia banyak menghabiskan masa di Sabah untuk menjaga bapanya yang sakit.
Must-Watch Video