Berita
Andai Dapat Bekerja Dengan Adam, Saya Mahu Letak Nama Sinclair's Brothers - Ashraf Sinclair
Pelakon Malaysia yang popular di Indonesia, Ashraf Sinclair akui teringin bekerja di bawah pengarahan adiknya, Adam Sinclair.
Kata Ashraf, Adam merupakan seorang pengarah muda yang berbakat dan bangga dengan kredibiliti adiknya.
"Adam mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan unik dan dia yang memilih untuk berada di belakang tabir.
"Dia juga merupakan seorang pengarah dan saya bangga dengan dia.
"Kalau boleh saya teringin juga untuk bekerja dengan Adam, kalau bukan sekarang mungkin satu hari nanti.
"Itu merupakan antara impian saya dan andai kata hasrat tercapai, nama pun saya rasa kami boleh letak Sinclair's Brothers," katanya berseloroh.
Adam sebelum ini pernah memenangi kategori filem pendek di Festival Filem Malaysia menerusi karya berjudul Sanzaru pada tahun 2012.
Dalam perkembangan lain, Ashraf bakal muncul dengan drama mini bersiri Do[s]a yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Selain Ashraf, pelakon yang turut membintangi drama tersebut ialah Datuk M.Nasir, Remy Ishak, Hisham Hamid, Reuben Elishama, Shenthy Feliziana (bekas pengacara HLive!) dan ramai lagi.
Do[s]a diarahkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Citra Award, Indonesia, Ifa Isfansyah.
Teks oleh: Mya Amri
Must-Watch Video