HIBURAN
Anak Dedah Titiek Puspa Sudah Ikhlas Untuk Meninggal Dunia: “Silakan Saya Diambil…”
Pemergian penyanyi legenda Titiek Puspa meninggalkan duka yang mendalam bagi seluruh peminatnya di Indonesia.
Pelantun Kupu-Kupu Malam tersebut menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada bahagian kiri kepala di Hospital Mrdistra, Jakarta Selatan pada 10 April 2025.
Mengenang perjalanan akhir ibunya, anak sulung allahyarham, Petty Tunjungsari, memberitahu ibunya sudah lama menunjukkan tanda-tanda keikhlasan sebelum berpulang.
Menurutnya, Titiek kerap melontarkan kalimat yang mencerminkan kepasrahannya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.
“Beliau memang selalu beritahu kepada saya dan adik, Ella kalau dalam bahasa Jawa ‘Gusti Allah, monggo kulo dipundut (silakan saya diambil),’” ujar Petty seperti dilaporkan Kompas.
Dia juga mengaku hampir seluruh ahli keluarga sudah dipersiapkan dengan ‘keberangkatan pulangnya’ sejak beberapa tahun terakhir, sementelah tahap kesihatan Titiek juga tidak begitu baik atas faktor usia.
“Jadi kalau boleh saya katakan, kami, anak-anaknya, sudah dipersiapkan. Tiga tahun, dua tahun, dan setahun sebelumnya, semua saudara mara sudah faham,” katanya lagi.
Saat ini jenazah sosok yang disifatkan sebagai legenda ini sedang berada di rumah duka sebelum dijangka dikebumikan di TPU Tanah Kusir.
Pemergiannya turut mendapat perhatian Presiden Prabowo yang mengirim jambangan bunga sebagai tanda takziah kepada bintang tersohor itu.
Terdahulu, Titiek dilaporkan menerima rawatan selepas pengsan sewaktu menjalani rakaman program di Lapor Pak Trans 7 pada 26 Mac lalu.
Allahyarham kemudian dirawat di hospital sama sehingga meninggal dunia.
Must-Watch Video