HIBURAN
Alpha Tak Goyah Dikecam, Ambil ‘Kritikan’ Sebagai Motivasi - “Kalau Terlalu Fokus Pada Perkara Negatif, Kita Mungkin…”
Sebagai kumpulan yang baru menapak dalam industri hiburan tempatan, Alpha mengakui mereka terbuka menerima segala bentuk teguran dan kritikan daripada orang ramai.
Mewakili kumpulan itu, Izat Ibrahim menegaskan sebagai pendatang baharu, mereka memilih untuk tidak terlalu memberi perhatian kepada komen negatif yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental dan semangat sebagai sebuah kumpulan.
“Ambil yang baik, mana yang kita boleh belajar, kita belajar. Mana yang kita boleh improve, kita improve. Tapi saya selalu pegang satu frasa ‘100 orang boleh suka, 1,000 orang tak suka’, jadi kita fokus pada yang menyokong dan suka kita.
“Kalau kita terlalu fokus pada perkara negatif, kita mungkin secara mental pun tak mampu bertahan. Jadi, kita kena benar-benar fokus pada perkara positif dan sesama kami pun kena saling bergantung pada tenaga masing-masing,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Sky juga menolak dakwaan sesetengah pihak penubuhan kumpulan mereka cuba meniru kumpulan Kpop terkenal, BTS.
Jelas Sky, walaupun BTS menjadi sumber inspirasi mereka namun Alpha tetap komited untuk membawa identiti tersendiri yang menampilkan elemen nusantar apatah lagi kumpulan tersebut turut dianggotai oleh ahli dari Brunei dan Singapura.
“Bukan untuk saya saja, tapi untuk kami semua. Kami rasa kami tak ada niat nak meniru. Cuma kami ambil BTS sebagai inspirasi kerana mereka satu kumpulan yang besar dan ahli mereka pun tujuh orang, sama macam kami,” jelas Sky.
“Kami terpegun bila tengok mereka, jadi kami pun nak jadi seperti itu dari segi semangat dan kejayaan. Tapi kami tak nak meniru, sebab kami adalah M-POP, bukan K-POP jadi kami kena tahu genre kami, latihan kami dan identiti kami sendiri,” tegas Sky.
Sekadar info, kumpulan Alpha dilahirkan menerusi program Big Stage Alpha dan dianggotai oleh Ariel Fesol, Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ray-D, Araff dan Sky.
Must-Watch Video