Aliff Syukri Diperintah Bela Diri Kes Video Sumbang Lagu Raya
Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman diperintah untuk membela diri di Mahkamah Sesyen Sepang atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video raya kontroversi, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu terhadap Aliff Syukri, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Memandangkan pihak pendakwaan telah berjaya dalam kes prima facie, mahkamah memanggil OKS untuk membela diri.
“Dalam hal ini, perkara yang menjadi tidak sopan adalah disebabkan video itu dipost (muat naik) dalam bulan Ramadan yang mana bulan yang sepatutnya dihormati. Penentuan tidak sopan itu tidak memerlukan keterangan mana-mana pakar untuk mentakrifkan perkara tersebut,” katanya pada prosiding hari ini.
Mengikut pertuduhan, usahawan itu didakwa atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang sumbang sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi Instagram 'aliffsyukriterlajaklaris'.
Kesalahan didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya di sini, pada 24 April tahun yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin manakala Aliff Syukri diwakili oleh peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Seramai tiga orang saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan selama empat hari yang bermula pada 19 Mei 2025.
Sebelum ini satu muzik video lagu raya berdurasi lima minit 23 saat pada 2022 menjadi kontroversi apabila memaparkan aksi keterlaluan beberapa orang penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan perayaan Aidilfitri serta mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sumber: Astro AWANI