HIBURAN
"Ada Orang Kata Saya Kena Jilat Jin" - Aliff Syukri
Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin membimbangkan, apabila tubuhnya mula menunjukkan simptom ganjil dan melemahkan sejak beberapa hari lalu.
Menurut Aliff, dia mula mengalami kegatalan luar biasa dan tompok-tompok merah yang memenuhi badan, sehingga mengganggu aktiviti hariannya termasuk ketika sedang membuat siaran langsung.
“Bila buat live, badan saya tiba-tiba menggigil. Ada orang kata saya kena sihir, kena jilat jin... entahlah. Tapi memang saya tak pernah kena macam ni seumur hidup,” ujarnya kepada Gempak.
Aliff yang masih keletihan itu memberitahu keadaan itu menjadi semakin serius apabila dia tidak mampu bangun tidur, sekaligus menyebabkan isterinya panik dan segera membawanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Saya terpaksa ambil dua suntikan. Badan dah terlalu lemah dan gatal dia bukan biasa-biasa,” katanya.
Walaupun penampilannya masih kelihatan kemas dengan bantuan solekan, Aliff mengakui fizikalnya belum stabil dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
“Saya tak boleh berjalan dengan stabil. Ini pun nampak normal sebab make-up. Saya cuba kuatkan semangat, tapi takut juga kalau ia berlarutan,” tambahnya.
Dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu, Aliff tetap meneruskan kempen terbarunya untuk mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records menerusi kategori jualan produk paling pantas secara langsung di media sosial pada 3 Ogos nanti.
Bahkan, demi menghargai peminat dan pelanggan setia, Aliff sanggup turun padang ke Masjid Jamek untuk bertemu orang ramai meskipun tubuh masih lemah.
“Saya tak nak putus asa. Selagi boleh bergerak, saya akan teruskan,” katanya, mempamerkan semangat juang seorang usahawan yang tidak mudah mengalah meskipun diuji dengan sakit misteri.
Must-Watch Video