BERITA
52 Tahun Hidup Bersama Berus Gigi Dalam Badan
Seorang warga emas berusia 64 tahun di wilayah Anhui, China terkejut apabila mengetahui bahawa berus gigi yang ditelannya lebih lima dekad lalu masih berada di dalam badannya, lapor portal berita Must Share News semalam.
Lelaki dikenali sebagai Yang itu segera mendapatkan rawatan perubatan selepas mengalami sakit dada yang berterusan.
Semasa dia menjalani endoskopi dan imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor terkejut apabila menemui objek yang panjang dan nipis di dalam duodenum iaitu bahagian usus kecilnya.
Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa objek tersebut adalah berus gigi plastik kanak-kanak.
Menurut Yang, dia secara tidak sengaja menelan berus gigi itu ketika bermain pada usia 12 tahun.
Selain merahsiakan perkara itu daripada ibunya, Yang menganggap objek tersebut akan larut secara semula jadi di dalam badan.
Bahkan, berus gigi itu kekal di tempat sama selama 52 tahun tanpa menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.
Yang selamat menjalani pembedahan dan doktor berjaya mengeluarkan objek itu.
Sumber: Kosmo
Must-Watch Video