BERITA
4 Rakyat Malaysia Dikejutkan Letupan Bom, Berbalas Tembakan Selepas Berbuka Puasa Di Golok
Empat rakyat Malaysia dikejutkan dengan letupan bom dan bunyi berbalas tembakan selepas berbuka puasa di pekan Golok, Thailand, pada Sabtu.
Panik Dengar Bunyi Bom
Sarina Abdullah, 38, berkata kejadian kira-kira jam 7.15 malam waktu Thailand ketika dia bersama tiga rakannya sedang bergerak pulang ke Rantau Panjang.
Katanya, dia baru sahaja melepasi kawasan 'taman' yang menjadi lokasi bom iaitu laluan untuk keluar ke pintu sempadan berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
"Bunyi bom begitu kuat sehingga kami panik sebelum dibantu oleh beberapa penunggang motosikal tambang yang menyuruh kami segera ke ICQS susulan kejadian berbalas tembakan dan bunyi bom itu.
"Ini adalah pengalaman kali pertama dan ia sangat mendebarkan walhal kami baru sahaja menikmati suasana berbuka puasa dan keadaan dilihat aman dengan ramai orang.
"Kami bersyukur kerana ketika kejadian, kami sudah hampir berada di pintu sempadan dan sempat menyelamatkan diri," katanya.
Hampir Dengan Tempat Berbuka Puasa
Sarina berkata kawasan yang berlaku kejadian berbalas tembakan itu berdekatan dengan kedai makan tempat mereka berbuka.
Sementara itu, seorang penduduk yang tinggal di sempadan berdekatan Sungai Golok, Fatin Syahira Othman, 33, mengakui terkejut mendengar bunyi letupan yang sangat kuat sehingga rumahnya turut terasa gegarannya.
"Saya sedang mengambil wuduk sebelum terkejut dengan bunyi terbabit dan sudah dapat mengagak bahawa ia adalah letupan bom kerana kesanya yang agak luar biasa.
"Kami yang tinggal berdekatan Sungai Golok juga bimbang akan keselamatan memandangkan bunyi terlalu dekat dan hanya berada di rumah selepas mendapat maklumat turut berlaku kejadian berbalas tembakan," katanya.
Sementara itu, NST melaporkan sekurang-kurangnya dua cedera dalam kejadian letupan bom dan berbalas tembakan berkenaan.
Memetik jurucakap polis Sungai Golok, memaklumkan identiti individu yang cedera itu belum dikenalpasti.
Ia juga menyatakan kejadian di laluan sepanjang Jalan Sungai Golok-Sungai Padi berhampiran Big C, sebuah pusat beli belah popular di kalangan rakyat Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Must-Watch Video