,
Laman Utama

3,000 Penonton ‘Terjampi’ Dek Untaian Lagu Galau Merinding Menerusi Konsert Rossa 25 Shining Years

Izwan Isa
05/11/2022
11:50 MYT
Hayat Datuk Seri Rossa dalam industri muzik Nusantara sudah pun menginjak ke usia 25 tahun - tempoh yang boleh dikira sangat lama untuk memakukan nama seseorang pelantun suara sebagai seorang penyanyi yang berkaliber.
Tinggi kaliber Rossa terbukti jelas saat 3,000 penonton mengisi setiap lopongan kerusi yang ada di Dewan Plenary KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu lalu, membuktikan namanya masih relevan dan karyanya masih didahagakan.
Lakunya tiket Rossa barangkali disebabkan kuasa malar segar yang dimiliki oleh setiap lagunya. Itu mungkin jampi yang digunapakai oleh pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani ini sebagai pelaku seni.
Membuka tirai Konsert Rossa 25 Shining Years dengan lagu As One yang dipetik daripada album Love, Life & Music, penonton terus dibuai dengan seleksi material-material galau seperti Takkan Berpaling, Masih, Tak Sanggup Lagi dan Tega.
Tidak melupakan pemuja lagu-lagu runut bunyi filem nyanyiannya, Rossa merangkumkan tiga single yang pernah menyorot perhatian pendengar suatu ketika dahulu iaitu Takdir Cinta, Atas Nama Cinta dan Ayat-Ayat Cinta.
Menurut Rossa, ketiga-tiga lagu ini merupakan lagu wajib karaoke dalam kalangan peminatnya.
Segmen seterusnya menghadirkan Andi Rianto, maestro muzik Indonesia yang bertanggungjawab menggarap beberapa lagu milik Rossa.
Melantunkan untaian Hati Yang Terpilih, Perawan Cinta, Aku Bukan Untukmu, Tertalu Berharap dan Sekali Ini Saja, segmen bersama Andi ternyata meninggalkan impak yang sangat mendalam dalam diri penonton.
Selain Andi, Rossa untuk menerbangkan Judika yang menyanyikan lagu Terlanjur Cinta dan mash-up Hati Yang Kau Sakiti dan Aku Yang Tersakiti.
Meneruskan persembahan, Rossa turut menghargai pemuzik dan penyanyi Malaysia dengan mendendangkan medley Janji Manismu, Suci Dalam Debu, Cinta Kita, Isabella, Bukan Cinta Biasa dan Antara Anyer Dan Jakarta.
Lebih manis, Datuk Amy Search yang hadir dalam kelompok penonton turut disuakan mikrofon oleh Rossa untuk menyanyi barang lagu Fantasia Bulan Madu.
Rossa turut mengundang Hael Husaini untuk menyanyikan lagu Kamu Yang Ku Tunggu sebelum Hael mengambil alih pentas menyanyikan lagu hits Rossa, Ku Menunggu.
Pentas konsert dimekarkan lagi dengan segmen lagu-lagu rancak, yang menyaksikan Rossa menghiburkan penonton dengan lagu Malam Pertama, Body Speak, Pudar, Sakura dan Hey Ladies.
Geliganya Rossa untuk tidak membiarkan penonton bosan, empat lagu tersebut diberikan sentuhan baharu dengan muzik EDM yang ternyata setara enak jika mahu dibandingkan dengan susunan muzik asal.
Tiga jam menikmati konsert Rossa seperti tidak puas. Bak kata Rossa ketika sidang media usai persembahannya, banyak lagu lain yang tidak dimasukkan dalam senarai persembahan.
Penyanyi berusia 44 tahun itu menambah, mungkin lima jam masa yang sedang elok untuk mempersembahkan kesemua katalog muzik popularnya.
Pun begitu, sedikit ralat kerana ada beberapa lagu hits Rossa yang ‘terabai’ dan tidak dinyanyikan secara penuh pada malam konsert - Jagad Khayalku, Memeluk Bulan, Salahkah dan Bukan Maksud Ku.
Namun, mungkin juga Rossa mahu meletakkan keadilan pada lagu-lagu lain yang selama ini belum pernah dinyanyikan secara langsung di Malaysia, sekaligus meninggalkan beberapa hits popularnya tidak terusik…
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Hiburan

Tiada Lagi Cinta, Rossa Lebih Selesa Berkawan Dengan Bekas Suami - “Kami Seperti Abang Dan Adik”

gempak
10/09/2024
02:06 MYT
Penyanyi dari seberang, Datuk Seri Rossa, mendedahkan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadan, tidak bersetuju sekiranya dia dan bekas suami, Yoyo, merujuk semula sebagai suami isteri.
Hiburan

Rossa Terjemah Perjalanan Seni Menerusi Filem Dokumentari All Access To Rossa 25 Shining Years, Bakal Tayang Di Malaysia September Ini!

gempak
31/07/2024
14:55 MYT
Penyanyi popular, Datuk Sri Rossa meluahkan rasa teruja apabila dapat menghasilkan filem dokumentari berjudul ‘All Access To Rossa 25 Shining Years’ setelah lebih 2 dekad berkecimpung dalam dunia seni.
Hiburan

Rasa Dah Tidak Releven, Rossa Dedah Pernah Mahu Bersara, Jual Aset & Pindah Negara

gempak
30/07/2024
02:55 MYT
Penyanyi popular Indonesia, Datuk Sri Rossa tampil membuat pendedahan pernah mahu mengundurkan diri daripada karier seni kerana berasa sudah tidak releven.
Hiburan

Rossa Sudah Siapkan Surat Wasiat Kematian: “Supaya Keluarga Yang Masih Hidup…”

gempak
19/07/2024
11:55 MYT
Penyanyi Rossa mengaku sudah menyiapkan wasiat yang selalu diperbaharui buat seluruh ahli keluarganya yang terdekat.
Hiburan

Sempat Terfikir Nak Menikah, Rossa Ulas Status Hubungan Bersama Afgan - “Memang Setiap Hari Dengan Afgan..”

gempak
17/07/2024
12:25 MYT
Penyanyi Rossa mengakui tidak pernah mempunyai hubungan istimewa bersama penyanyi Afgan.