BERITA
30 Tahun Berbakti, Guru Hanya Terima Gaji RM83 Tiga Bulan Sekali
Seorang guru di wilayah Sukabumi, Indonesia reda menerima gaji hanya RM83 (350,000 Rupiah) yang dibayar tiga bulan sekali meskipun sudah mengabdikan diri dalam kerjaya tersebut selama lebih tiga dekad.
Memetik laporan Kompas.com, Saryono, 55, berkata, bayaran tersebut juga bergantung kepada dana Bantuan Operasi Sekolah (BOS).
Menurut lelaki pertengahan umur itu, gaji diterimanya turut digunakan untuk menanggung isteri dan anak-anak, termasuk biaya rawatan dua kakak ipar yang uzur.
“Saya mengajar sejak 1992, jadi sampai sekarang sudah 33 tahun. Memang keadaan saya sangat susah.
“Tidak ada guru yang sudi mengajar di kawasan pedalaman ini, tiada generasi dibangunkan di sini juga kerana lokasinya jauh dari bandar dan terpencil.
“Untuk mencari pendapatan sampingan, saya usahakan tanaman kecil-kecilan seperti padi, ubi dan lain-lain manakala isteri pula bantu meniaga di kampung,” katanya pada Isnin.
Saryono memberitahu, dia menggunakan motosikal lama yang dibelinya tiga tahun lalu untuk menempuh perjalanan ke sekolah.
Katanya, tempoh perjalanan kebiasaannya mengambil masa sekitar 30 minit dengan jarak tujuh kilometer (KM) daripada rumah.
“Tetapi, kalau tiba musim hujan, perjalanannya semakin mencabar, tambahan pula saya sudah tua,” ujar Saryono lagi.
Dia juga memaklumkan pernah memohon untuk menjadi pegawai negeri atau pegawai pemerintah sesuai kelayakan dan pengalaman sebagai guru selama tiga dekad, namun usahanya masih belum membuahkan hasil sehingga sekarang.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video