HIBURAN
Jaclyn Victor Ambil Kelas Vokal & Kerap Karaoke
Penyanyi Jaclyn Victor akui mengambil kelas vokal bersama Cikgu Shafi sebagai salah satu persiapan untuk Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).
Menurut Jaclyn dia juga rajin karaoke untuk memantapkan vokal suara.
"Banyak perkara saya lakukan untuk persiapan AJL33 yang bakal menjelang ini.
"Saya ada mengambil kelas vokal bersama Cikgu Shafi.
"Setakat ini sudah empat kali saya menghadiri kelas vokal tersebut.
"Sebelum ini saya tidak tahu mengenai teknik tepat seperti bubbling.
"Selain itu, saya juga pergi karaoke untuk membiasakan penggunaan suara secara berterusan," katanya kepada Gempak.
Jaclyn ditemui pada malam Prelude Anugerah Juara Lagu 33 di KL Live baru-baru ini.
Tambah Jaclyn, dia dan pasangannya, Siti Nordiana akan membuat persembahan paling terbaik pada malam itu.
"Lagu ini bukan lagu mudah. Sebagai seorang penyanyi yang memasuki AJL33, semestinya ingin memenangi vokal terbaik ataupun sebagai juara lagu.
"Justeru, saya dan Nana bakal membuat persembahan paling terbaik pada malam itu," katanya lagi.
Jaclyn dan Siti Nordiana bakal mempersembahkan lagu berjudul Nisan Cinta pada malam AJL33.
Selain Nisan Cinta yang merupakan ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, pentas AJL33 turut membariskan 11 lagi finalis iaitu Sampai Bila (Misha Omar), Semakin (Siti Sarah), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Di Matamu (Sufian Suhaimi), Hajat (Hael Husaini), Bunga (DeFam), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli dan Aman RA), Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah), Kau Pun Sama (Syamel), Luluh (Khai Bahar) dan Bunga (Ara Johari).
AJL33 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Februari ini.
Must-Watch Video